Jumaat, Mac 24, 2006

Songkok Pesok Dek Lonjak Awak

Oleh: Ibnu Yusof
p/s: Terima kasih kepada Ibnu Yusof atas kesudian beliau keluar makan dengan team energetic point di Anjung Warisan, Johor. Juga atas nasihat yang diberikan :)
Anda mungkin baru berjumpa perkataan di atas buat pertama kali. Ia adalah peribahasa Melayu yang membawa maksud segala akibat buruk yang berlaku pada diri adalah berpunca dari perbuatan diri sendiri juga. Ini ada kaitan rapat dengan perangai segelintir usahawan dan usahawan profesional ketika banyak wang dan ada pengaruh.
Saya lihat ada diantara usahawan kita yang lupa diri dan 'melonjak tinggi' dari segi kata dan perbuatan tapi kini saya dapati mereka ini 'sudah terpesok songkoknya'. Apakah sebabnya hal seperti ini berlaku? Saya fikir ini berpunca dari kurangnya penghayatan terhadap Islam dan terlalu menurut nafsu. Contohnya ada isteri yang baik atau ada suami yang baik tetapi masih berkelakuan curang dan yang paling menyedihkan ialah orang-orang ini baik lelaki ataupun wanita seolah-olah bangga dengan maksiat yang dilakukannya. Na'uzubillah. Apa sudah jadi?
Ingatlah, sedikit harta dunia yang ada pada anda itu bukanlah 'lesen' untuk anda berbuat maksiat sewenang-wenangnya. Bila Allah menghendaki, Dia akan cabut kesenangan anda dalam sekelip mata saja hinggakan tidak ada kawan atau sahabat yang dapat menolong walaupun mereka kasihan dan ingin menolong. Insaflah. Kembalilah kepada apa yang disuruhNya dan jauhilah apa yang dilarangNya. Itulah kuncinya.
Satu lagi nasihat saya, jika anda berada di atas atau masih punya kuasa dan pengaruh, jangan 'lupa diri' dan berlagak sombong. Mana tahu, kedudukan itu anda dapat hanya sebentar saja. Bila anda sudah jatuh, anda mungkin merasa oranglain 'memijak' anda. Tapi sebenarnya oranglain 'ok' dan cuba membantu setakat termampu, yang 'tidak ok' adalah anda. Semuanya berpunca dari perbuatan anda juga. Songkok pesok dek lonjak awak.
Satu perkara lagi, jika anda dalam kesusahan, sebaik-baiknya janganlah heret kawan-kawan anda menjadi susah pula kerana rungutan anda dan kemarahan anda. Tiada gunanya anda marah pada semua orang kerana kesalahan sebenar berpunca dari diri anda. Andalah yang perlu baiki perangai anda, bukan kawan-kawan anda. Bila anda baiki perangai anda, dunia anda akan jadi 'ok'. Jika anda tahu erti 'teman setia', anda tentu tidak akan mengambil kesempatan dari kawan-kawan anda.
Sebab itulah Islam menyeru umatnya agar muhasabah setiap hari, jangan sampai bertahun-tahun masih tidak sedar bahawa diri sendiri sudah menyimpang jauh. Jangan sampai tidak boleh ditegur kerana menyangka diri sendiri sudah 'sempurna'. Ingat itu, saya sayang anda, sayang sesama Muslim.
Nasihat ini adalah untuk diri saya sendiri juga, kalau saya tersalah langkah atau terlupa, ingatkanlah saya dan nasihatkanlah saya.

Tiada ulasan: