Rabu, Mac 08, 2006

Kejayaan Dunia Akhirat

Oleh Ibnu Yusof

-Ibnu Yusof atau Sheeth Mohd Yusof berpengalaman lebih 20 tahun dalam program pembangunan usahawan. Beliau telah menghasilkan pelbagai buku berkaitan keusahawanan dan motivasi sejak tahun 80an lagi. Antara yang ternama adalah buku bertajuk "Permata Yang Hilang". Ibnu Yusuf adalah salah seorang fasilitator aku semasa aku menyertai latihan pembangunan usahawan tahun 2003 di Johor Bahru. Sayangnya sekarang beliau jarang mengemaskini blognya.-shahizam

Kerjaya keusahawanan adalah kerjaya yang secara komparatifnya baru bagi Bumiputera Muslim di Malaysia sejak era penjajahan Portugis, Jepun dan Inggeris. Sebenarnya sebelum penjajah datang ke Nusantara, orang-orang Melayu adalah pedagang yang handal dengan sejarah keusahawanan yang gemilang. Pada masa dahulu Melaka merupakan salah satu pusat perdagangan terkenal dan bertaraf dunia.

Penjajah telah menjalankan strategi 'pecah dan perintah'. Mereka telah memberi peluang kepada orang-orang Melayu untuk bekerja dengan kerajaan kerana tahu bahawa orang-orang Melayu setia kepada tuannya. Ketika itu kerjaya orang-orang Melayu berubah dari petani kepada makan gaji dan secara umumnya ianya berterusan hingga ke hari ini.

Kesan perubahan kerjaya ini agak ketara di mana anak-anak muda kurang berminat untuk mengusahakan sawah ladang, mengakibatkan banyak tanah terbiar akibat penghijrahan besar-besaran ke kota.

Kadar kelahiran Melayu adalah lebih tinggi berbanding Cina dan India di Malaysia. Hari demi hari peluang pekerjaan di sektor awam semakin berkurangan, dan semakin ramailah orang-orang Melayu bekerja di sektor swasta dan terdedah pula dengan budaya niaga.

Berbekalkan pengalaman bekerja di sektor awam dan swasta serta menyedari wujudnya banyak peluang-peluang perniagaan sebahagian orang-orang Melayu telah berhenti dari makan gaji dan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Biasanya di kalangan mereka ini suami berniaga dan isteri masih makan gaji. Ini seolah-olah merupakan proses transisi bagi orang-orang Melayu ke arah membentuk keluarga usahawan sepenuhnya. Ramai Bumiputera berniaga setelah tragedi 13 Mei 1969 berpunca dari kesedaran diri serta galakan kerajaan.

Dalam proses ini, banyaklah berlaku salah faham dan silap faham berkaitan dunia keusahawanan di kalangan masyarakat Melayu. Pada awalnya dulu tentulah tekad untuk menjadi usahawan kurang mendapat sokongan keluarga kerana dianggap pendapatan tidak tetap dan risiko perniagaan adalah tinggi. Tapi kini nampaknya kerjaya keusahawanan telah mula difahami dan mula mendapat sokongan dan pengiktirafan.

Oleh kerana kurangnya sumber rujukan di kalangan orang-orang Melayu sendiri berkaitan dunia keusahawanan, ramai usahawan Melayu berniaga berpandukan budaya niaga sekular. Tidaklah menghairankan jika ramai orang Melayu sendiri menganggap bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya menjadi usahawan atau menjadi kaya sedangkan tanggapan itu adalah salah. Akibatnya ramailah yang telah berniaga mengikut cara sekular, menipu, mungkir janji dan sebagainya lagi sedangkan dalam Islam telah ada panduan yang jelas mengenai apa yang patut dilakukan atau sebaliknya.

Sebenarnya kita harus faham bahawa menjadi usahawan adalah satu kerjaya mulia. Ia adalah untuk memperoleh kejayaan dunia akhirat. Kerana itu sepatutnya kita semua menjalankan perniagaan menurut suruhan Islam untuk mencapai matlamat ini. InsyaAllah.

1 ulasan:

blackpurple @ jowopinter berkata...

Nice to read your sharing bro'.....